Isu Pemerdagangan manusia
Pemerdagangan manusia merujuk kepada
perbuatan berbentuk perdagangan yang melibatkan pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan
seseorang melalui paksaan. Kegiatan pemerdagangan manusia ini secara umumnya
merupakan suatu jenis perhambaan yang melibatkan perekrutan, pengangkutan,
pemindahan, perlindungan, penyediaan mahupun penerimaan seseorang bagi maksud
eksploitasi. Kegiatan pemerdagangan manusia ini semakin berleluasa dan keadaan
ini menjadi semakin membimbangkan lagi apabila negara Malaysia dilabel sebagai
negara transit dan negara destinasi bagi kes pemerdagangan manusia di rantau
Asia Tenggara. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang, sesuatu peristiwa
yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Persoalannya, apakah punca yang
menyebabkan isu pemerdagangan manusia ini berlaku?
Antaranya ialah penguatkuasaan
undang-undang yang lemah. Kewujudan unsur-unsur rasuah dalam kalangan
pegawai-pegawai kerajaan yang berkaitan menyebabkan undang-undang yang
diperkenalkan tidak dipatuhi sepenuhnya. Misalnya, sesetengah pegawai yang
bertugas di pintu masuk lapangan terbang atau pelabuhan bertindak menerima
rasuah daripada sindiket-sindiket dengan memberi kebenaran kepada sindiket-sindiket
dan mangsa-mangsa untuk masuk ke negara kita dengan mudah.
Selain itu, jurang ekonomi antara
negara juga mendorong isu ini berlaku. Kemiskinan di sesebuah negara akan
mendorong rakyatnya untuk mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Dengan ini, mereka memilih untuk bekerja di negara luar yang lebih kaya tetapi
kekurangan tenaga kerja. Walaubagaimanapun, terdapat pihak-pihak tertentu yang
mengambil kesempatan golongan ini dengan memberi jaminan pekerjaan, tempat
tinggal dan kehidupan yang lebih baik kepada golongan ini. Namun, keadaan
menjadi berlainan daripada apa yang dijanjikan selepas golongan ini dibawa ke
luar negara. Mereka dipaksa menjadi hamba seks dan buruh kerja. Hal ini terbukti
apabila terdapat statistik yang menyatakan bahawa mangsa-mangsa pemerdangangan
manusia ini berasal dari negara-negara jiran yang berpendapatan rendah seperti
Myanmar, Vietnam dan Laos. Dengan ini dapat dibuktikan bahawa jurang ekonomi
antara negara akan menyebabkan isu pemerdangangan manusia berlaku.
Kegiatan pemerdagangan manusia ini
telah mendatangkan pelbagai impak kepada masyarakat dan negara. Antaranya, kegiatan
ini yang berlaku di negara Malaysia telah mencemarkan nama baik negara Malaysia
di mana negara Malaysia dianggap lemah dalam mentadbir negara dan
menguatkuasakan undang-undang. Selain itu, ekonomi negara juga akan terjejas
kerana pelabur-pelabur tidak berminat untuk melabur di negara ini akibat isu
ini yang berlaku. Sektor pelancongan yang turut menyumbang kepada pendapatan
negara juga akan terjejas kerana pelancong-pelancong berasa keselamatan mereka
terancam apabila mereka berada di Malaysia. Kegiatan ini juga menjejaskan
keamanan masyarakat setempat disebabkan pelbagai gejala sosial yang berlaku
akibat daripada kegiatan pemerdagangan manusia seperti berpeleseran, pelacuran
dan sebagainya.
Kerajaan Malaysia telah mengambil
tindakan yang sewajarnya untuk memerangi pemerdagangan manusia ini dan telah
membuahkan hasil. Hal ini dapat dibuktikan dengan kenaikan kedudukan Malaysia
daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan
Tahap 2. Antara tindakan yang diambil ialah kerajaan telah
memperkukuh undang-undang yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia. Kerajaan
Malaysia telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007(ATIP) bagi
menangani isu tersebut. Selain itu, kerajaan juga telah meminda akta tersebut agar akta
tersebut menjadi lebih komprehensif di samping menaikkan denda untuk kesalahan
pemerdagangan orang. Melalui akta ini, denda untuk kesalahan pemerdagangan
orang telah dinaikkan antara RM500,000 hingga maksimum RM1 juta.
Tuntasnya,
pada komen saya, kegiatan pemerdagangan manusia yang telah memberi impak-impak
kepada negara mahupun masyarakat seharusnya diberi perhatian oleh pelbagai
pihak dan langkah proaktif seharusnya diambil untuk mencegah isu ini daripada
terus berleluasa. Semua pihak seharusnya bekerjasama bagai aur dengan tebing
dalam menangani isu ini. Semoga usaha-usaha yang dijalankan dapat membuahkan
hasilnya dan seterusnya membantu kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.