Thursday 3 September 2015

PRO FORMA KURSUS

SINOPSIS

Kursus ini memberikan fokus kepada konsep budi bahasa, kesantunan dalam berbahasa, konsep kesantunan dan perkaitannya dengan konsep penjagaan muka,stratwgi kesantunan, pembudayaan kesantunan dalam pengajaran dan pembelajaran; dan isu-isu yang berkaitan dengan kesantunan berbahasa.


Rujukan

Abdul LatibAbd Rahman, Umar Ahmad, Muhaiyuddin Mohamed Azizi, Abu ZakiRomli
            dan Zulkafly Mohd Noor. (2014). Kesantunan Masyarakat Malaysia. Jabatan
            Pengajian Melayu IPG Kampus Pulau Pinang.

AziziYahaya, Halimah Ma’alip, Jamaludin Ramli, Shahrin Hashim dan Yusof Boon.
            (2009). Modal Insan: Membentuk Keluarga Berkesan. Johor: Penerbit
            Universiti Teknologi Malaysia.

Goay, T.C, Wong Y.H & Suraini Basir. (2013). Teks Pra-U STPM Pengajian Am. Kuala
            Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Vishalache Balakrishnan. (2009). Pendidikan Moral Untuk Universiti Dan  Kolej.
            Selangor: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.

Mab Di. (2011). Punca-punca Berlakunya Pembuangan Bayi. Diperolehi pada 30 Ogos
            2015 daripada
https://panitiabmcochrane.wordpress.com/2011/01/13/punca-
            punca-berlakunya-pembuangan-bayi/


Zarislala. (2014). Penderaan Kanak-Kanak. Diperolehipada 30 Ogos 2015 daripada
           
https://zazalolopress.wordpress.com/2014/01/06/penderaan-kanak-kanak-7/

Wednesday 2 September 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 6 : Isu Ponteng Sekolah

Isu ponteng sekolah

    Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah.  Seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari persekolahan.  Kes-kes ponteng sekolah ini merupakan bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain.  Isu ini banyak berlaku di sekolah.

   Sebab yang paling utama yang telah menyebabkan pelajar-pelajar terlibat dalam isu ponteng sekolah ialah pelajar kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.  Keadaan ini berlaku mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang memerlukan banyak penghafalan contohnya mata pelajaran sejarah, geografi, biologi dan sebagainya.

     Di samping itu, sebab isu ponteng sekolah sering berlaku secara berterusan ialah pelajar tidak mampu mengikuti pelajaran dengan lengkapnya kerana pelajar tidak dapat menyerap sukatan pelajaran yang dipelajarinya dengan berkesan.  Ini pasti akan menyebabkan berlakunya isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang lemah jika berbanding dengan pelajar yang cerdas.  Jadi mereka akan hilang minat belajar akibat tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan yang lebih jelas.

     Kesan-kesan ponteng sekolah ialah pelajar-pelajar yang ponteng sekolah akan menyebabkan pencapaian akademik sesebuah sekolah merosot.  Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar yang ponteng sekolah akan ketinggalan pelajaran dan pengajaran.  Ini akan menyebabkan pelajar itu tidak dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik.  Kesannya, pencapaian akaedemik pelajar itu akan merosot dan akhirnya menyumbang kepada kemerosotan pencapaian akademik sekolah.

  Kesan-kesan ponteng sekolah terhadap negara ialah ponteng sekolah akan menjejaskan sistem pendidikan negara pada masa hadapan.  Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem pendidikan negara akan terjejas tanpa pelajar yang berdisiplin dan masa depan pelajar akan hancur atas ponteng sekolah.  Ini juga akan menyebabkan negara menghilangkan banyak bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

     Kesan-kesan ponteng sekolah terhadap masyarakat ialah tabiat ponteng sekolah dalam kalangan pelajar dapat menyumbang kepada peningkatan statistik jenayah dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah menengah.  Dengan ini akan mengancam keselamatan masyarakat dan menyebabkan masyarakat menjadi tidak aman.

    Langkah-langkah untuk mengatasi isu ponteng sekolah ialah pihak sekolah harus menyediakan suasana persekolahan yang kondusif dan tidak memberi tekanan kepada pelajar.  Guru juga harus mengubahkan cara pengajarannya, dengan menambahkan sedikit hiburan supaya pelajar tidak berasa bosan dan mereka dapat menikmati keseronokan dalam pelajaran.  Guru juga haruslah dengan ramah dan penuh kasih sayang terhadap pelajar-pelajarnya supaya mereka akan memberitahu masalahnya kepada guru mereka.

     Selain itu, masyarakat juga harus memainkan peranan dalam membanteras isu ponteng sekolah.   Masyarakat setempat dapat membendung masalah ini dengan menasihati perbuatan pelajar  atau membuat laporan kepada pihak polis.  Masyarakat sepatutnya tidak bersikap mementingkan diri sendiri dalam menangani masalah ponteng sekolah.   Pada masa yang sama, tempat-tempat yang sering menjadi tempat kumpul pelajar ponteng ini hendaklah sentiasa dipantau.  Masyarakat setempat juga boleh meminta bantuan pihak polis untuk mengawasi lokasi tertentu yang telah menjadi tempat kumpul  pelajar yang ponteng sekolah.


 Konklusinya, pelajar merupakan tonggak negara pada masa hadapan, oleh itu pelajar tidak seharusnya melibatkan diri dalam masalah ini.

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 5: Isu Gengsterisme

Isu Gengsterisme




  Gengsterisme merupakan suatu kegiatan gengster atau kumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah tertentu. Kumpulan individu ini sanggup melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang demi mencapai matlamat dan kepuasan diri. Secara umumnya, gejala gengsterisme ini banyak berlaku di sekolah.

  Antara punca yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam gengsterisme ialah pengaruh rakan sebaya. Menurut Artwater (1998), rakan sebaya merupakan rakan seumur dan boleh dikategorikan sebagai rakan sepermainan atau rakan seperjuangan. Hal ini menyebabkan golongan masyarakat terutamanya golongan remaja sering terpengaruh dengan tindakan rakan-rakan mereka. Dengan ini, kesilapan bergaul dengan rakan-rakan akan menyebabkan seseorang itu melibatkan diri dalam pelbagai perbuatan samseng dan gangster.

 Sementelahan, media massa juga merupakan salah satu punca yang mendorong gejala gengsterisme berlaku. Pada zaman sekarang yang maju dengan teknologi maklumat, kita boleh menonton pelbagai jenis filem melalui telefon bimbit, komputer riba mahupun televisyen pada setiap masa. Sekiranya seseorang yang tidak tahu membezakan intan daripada kaca menonton filem yang berunsur keganasan, mereka akan terikut-ikut dengan aksi-aksi ganas pelakon. Dengan ini, pemikiran mereka yang terpengaruh menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan perbuatan yang ganas dan secara tidak langsung mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gengsterisme. Selain itu, sesetengah ibu bapa memberi kebebasan yang sepenuh bagi anaknya serta tidak mengambil kisah tentang kegiatan anaknya dengan rakan-rakan anaknya. Justeru itu, ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif dalam aktiviti gangsterisme.

  Gejala gengsterisme telah mencemarkan imej negara. Kegiatan gengsterisme yang berlaku di sesuatu tempat akan meninggalkan kesan dan tanggapan yang tidak baik di kalangan pelancong-pelancong asing. Mereka akan berpendapat bahawa negara Malaysia ialah satu negara yang tidak berdisiplin. Apabila pelancong-pelancong asing ini balik ke negara asal mereka, komen mereka terhadap negara Malaysia yang negatif akan mencemarkan nama baik negara. Hal ini secara tidak langsung juga akan menjejaskan ekonomi negara kita kerana sektor pelancongan yang menyumbang besar kepada ekonomi negara terjejas.Gejala gengsterisme ini juga menyebabkan ketenteraman masyarakat setempat terjejas kerana kegiatan pergaduhan, memeras ugut yang berlaku dengan kerap.

Pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah gengterisme. Seseorang individu haruslah mempunyai jati diri yang kukuh dengan tidak mudah terpengaruh oleh orang lain. Seseorang individu seharusnya berfikir sebelum bertindak agar tindakan yang diambil tidak meninggalkan kesan negatif terhadap individu tersebut. Pihak ibu bapa juga memainkan peranan dalam menangani isu ini. Ibu bapa seharusnya mendidik dan membimbing anaknya agar sentiasa berada dalam jalan yang betul. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap perkembangan anak-anaknya walaupun sibuk berkerja.

  Selain itu, masyarakat juga harus memainkan peranan dalam menangani gejala gengterisme. Mereka tidak patut mengamalkan sikap endah tak endah terhadap gejala ini sebaliknya harus memainkan peranan mereka dengan melaporkan kes-kes gengsterisme yang berlaku kepada pihak polis. Selain itu, pihak sekolah juga berperanan penting dalam mengatasi masalah gengsterisme. Sekolah juga boleh melibatkan semua pelajar dalam aktiviti kokurikulum seperti aktiviti persatuan, kelab dan badan beruniform supaya murid-murid boleh mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah daripada melibatkan diri dalam gejala negatif.

     Tuntasnya, gejala gengsterisme ini perlu ditangani dengan drastik terutamanya pihak sekolah hendaklah memberi perhatian serius terhadap golongan remaja yang berisiko tinggi untuk melibatkan diri dalam gejala gengsterisme. Semua pihak seharusnya bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membawa isu ini menemui titik noktahnya supaya masyarakat yang mempunyai nilai kesantunan yang tinggi dapat dibentuk dan menjurus kepada pembentukan negara Malaysia yang berketamadunan.

Tuesday 1 September 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 4 : Isu Pembuangan Bayi

Isu Pembuangan Bayi


    Kehidupan generasi masa kini yang bertunjangkan keseronokan telah menyebabkan mereka terlibat dalam pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Hal ini telah menyebabkan sesetengah perempuan mengandungkan anak luar nikah. Dalam situasi ini mereka yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya. Kesannya, kita sering dengar tentang berita berkaitan dengan pembuangan bayi saban hari. Keadaan sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana bayi yang dilahirkan umpama kurniaan Tuhan kepada ibu bapa kepada bayi tersebut. Namun, apakah punca yang telah mendorong isu ini berlaku?

Antara punca yang mendorong isu ini berlaku ialah kekurangan didikan agama dalam diri seseorang. Semua agama mengajar pengikutnya agar melakukan kebaikan dan mementingkan sikap kesantunan. Mereka yang terlibat dalam isu pembuangan bayi tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam. Mereka tidak takut akan dosa atau pembalasan Tuhan atas perbuatan mereka. Tanpa didikan agama, mereka tidak dapat membezakan intan daripada kaca. Tamsilnya, mereka melibatkan diri dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang untuk menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Hal ini menunjukkan peranan agama dalam kehidupan adalah amat penting untuk membentuk pegangan hidup yang teguh dan bukan mengikut hawa nafsu semata-mata. 

    Selain itu, sistem kekeluargaan yang lemah juga merupakan salah satu sebab berlakunya kes pembuangan bayi. Desakan hidup yang tinggi menggamit ibu bapa untuk mencari nafkah hidup. Kesibukan ibu bapa mengejar kemewahan hidup menyebabkan mereka lupa akan tanggungjawab sebenar mereka dalam membina sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak mempunyai masa untuk mengambil berat tentang perkembangan anak-anak. Hal ini telah menyebabkan anak mereka tidak mempunyai didikan moral yang kukuh daripada ibu bapa mereka dan seterusnya menyebabkan mereka tidak mempunyai nilai kesantunan dalam diri mereka. Kesannya, anak-anak akan mudah terlibat dalam gejala sosial seperti pergaulan bebas dan akhirnya bayi dilahirkan tanpa melalui ikatan perkahwinan. Natijahnya, bayi yang tidak diingini kehadirannya menjadi mangsa kerakusan nafsu. Bayi yang telah dilahirkan akan dibuang seperti sampah kerana kehadirannya belum dapat diterima. 

Isu pembuangan bayi ini telah memberi impak kepada negara dan masyarakat.  Kita akan digelar sebagai masyarakat yang tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan masyarakat yang kejam. Nilai-nilai tradisi masyarakat traditional seperti gotong royong, ziarah menziarahi, saling membantu dan sebagainya akan luntur kerana masyarakat saling berselisih dan menyelisihkan orang yang telah membuang bayi.

Selain itu, negara akan dianggap lemah dalam pentadbiran kerana tidak mampu menangani gejala pembuangan bayi tersebut. Perbelanjaan kerajaan juga akan meningkat bagi menampung bayi yang ditempatkan di rumah kebajikan. Jika kes pembuangan bayi sering berlaku, kerajaan terpaksa membina lebih banyak rumah kebajikan untuk menampung bilangan bayi yang semakin bertambah.

Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Oleh hal yang demikian, langkah yang drastik dan efisien perlu diambil untuk menangani masalah ini.  Antaranya, ibu bapa harus memberikan didikan agama dan moral untuk menyedarkan mereka tentang dosa sekiranya mereka berbuat demikian. Didikan keagamaan perlu diterap dalam jiwa anak mereka pada setiap masa supaya menjadi panduan kehidupan agar mereka dapat memupuk nilai kesantunan dan tidak menjalani hidup bertuhankan nafsu. Selain itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa sepatutnya menunjukkan sikap yang baik di hadapan anak-anak dan menasihati anak mereka agar tidak terlibat dalam gejala sosial. Ibu bapa juga perlu meluangkan masa untuk mengambil berat anak mereka dan mengawasi pergaulan anak mereka. Justeru, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyemai nilai kesantunan dalam diri anak-anak mereka dan secara tidak langsung mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala negatif.

Tuntasnya, kita tidak patut melakukan kegiatan penbuangan bayi yang salah di sisi undang-undang walaupun kelahiran bayi tersebut akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Hal ini demikian kerana bayi merupakan kurniaan Tuhan kepada setiap ibu bapa, kita seharusnya berfikir dengan waras sebelum melakukan sesuatu. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah.

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 3: Isu Penyalahgunaan Dadah

Isu Penyalahgunaan Dadah


Isu Penyalahgunaan dadah

Jenis-jenis dadah


  Penyalahgunaan dadah merujuk kepada keadaan menggunakan dadah secara bertentangan dengan kepentingan rawatannya. Penyalahgunaan dadah ini ditakrifkan sebagai satu perlakuan yang tidak berfaedah dan salah di sisi undang-undang. Penggunaan dadah akan menyebabkan seseorang berada dalam keadaan mabuk, khayal, ketagih dan mengalami gangguan tingkah laku, Kebiasaannya, kegiatan ini berlaku di tempat-tempat yang sunyi dan tidak dikunjungi oleh orang ramai.

      Antara faktor yang menyebabkan isu in berlaku ialah faktor jati diri seseorang yang tidak kukuh. Mereka mudah terpengaruh dengan tindakan orang lain malah mereka terikut-ikut dengannya kerana mereka ingin merasai sesuatu yang baharu.. Kegagalan seseorang mengawal nafsu menyebabkan mereka terjebak dalam gejala dadah. Tekanan jiwa yang ada pada diri seseorang juga menyebabkan seseorang itu mengambil keputusan untuk mencuba dadah sebagai medium utama bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi. Tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja menyebabkan kemurungan seseorang itu berlaku dan seterusnya mendorong seseorang itu menjadikan dadah sebagai teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.

     Selain itu, kemunculan media massa juga mendorong gejala ini memuncak dengan drastik. Watak-watak dalam filem yang menghisap dadah menimbulkan rasa ingin cuba dalam diri seseorang. Sesetengah orang cenderung untuk mencuba meniru artis pujaan mereka yang berlakon dalam filem. Kesannya, sikap ingin mencuba dalam diri seseorang tanpa memikirkan kesan buruk akibat tindakan yang diambil menyebabkan mereka terjebak dalam kancah dadah.

   Penyalahgunaan dadah telah meninggalkan kesan terhadap masyarakat dan negara. Antaranya, kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat penubuhan pusat serenti untuk memulihkan penagih. Pengurusan pusat-pusa serenti ini menelan belanja yang tinggi. Dari aspek yang lain, penagih dadah yang sentiasa berada dalam keadaan khayal atau mabuk menyebabkan produktiviti kerja mereka merosot. Dengan ini, negara kita kehilangan tenaga kerja yang produktif dan ini akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara. 

  Di samping itu, gejala penyalahgunaan dadah juga menyebabkan suasana hidup dalam masyarakat menjadi tidak aman dan tenteram kerana terdapatnya kejadian mencuri, merompak dan lain-lain yang dilakukan oleh penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Keadaan ini akan mewujudkan perselisihan faham antara golongan masyarakat akibat mereka sering menuding jari terhadap mereka yang melakukan kegiatan tersebut. Dengan ini, perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat akan terjejas.

   Antara langkah untuk mengatasi kegiatan penyalahgunaan dadah ini ialah pihak media massa seharusnya menapis filem-filem mahupun iklan-iklan terdahulu sebelum menayangkannya. Hal ini dapat mengelakkan seseorang individu yang masih tidak tahu membezakan intan daripada kaca terikut-ikut dengan kegiatan negatif yang dijalankan oleh artis-artis pujaan mereka. Media massa juga boleh menyiarkan iklan-iklan tentang kesan menagih dadah untuk memberi kesedaran kepada penonton agar tidak menagih dadah.

     Selain itu, pihak kerajaan dan juga badan bukan kerajaan boleh mengadakan pelbagai program mahupun ceramah untuk memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah. Program-program mahupun ceramah yang diadakan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kesan negatif menagih dadah. Misalnya, kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan telah mengadakan Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) di peringkat sekolah untuk memberi kesedaran kepada pelajat supaya mengamalkan gaya hidup sihat yang bebas daripada dadah. 

   Masalah penagihan dadah juga boleh diatasi dengan tindakan individu itu sendiri. Setiap individu hendaklah mempunyal jati diri yang tinggi agar dapat menangkis apa jua anasir negatif yang datang. Justeru, setiap orang hendaklah memikirkan masa depan mereka dan sentiasa menjauhi sikap ingin mencuba atau merasai najis dadah. Anggapan segelintir orang yang mengatakan bahawa dengan menagih dadah, seseorang itu dapat menghilangkan segala masalahnya hanya merupakan 'khayalan' belaka kerana penggunaan dadah tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kematian dan kesengsaraan.


     Isu penyalahgunaan dadah ini ialah kegiatan yang negatif ini seharusnya diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak dan seterusnya mengambil langkah proaktif untuk mengatasi isu ini. Hal ini demikian kerana sekiranya isu ini terus berleluasa, kemajuan negara akan terbantut akibat golongan masyarakat yang terjerumus dalam najis dadah tidak dapat menyumbang tenaga mereka dalam pembangunan mereka bahkan merekalah yang berperanan besar dalam memajukan negara dari aspek politik, ekonomi dan sosial. 

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 2 : Isu Penderaan Kanak-Kanak

Isu Penderaan Kanak-Kanak       

    Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang berada di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001. Kanak-kanak yang dilahirkan mempunyai hak mereka untuk hidup sihat dan bebas daripada keganasan. Namun demikian, isu-isu penderaan kanak-kanak yang sering terpapar di dada akhbar telah menimbulkan kerisauan pelbagai pihak. Di Malaysia isu penderaan mula diberi perhatian serius selepas kes penderaan fizikal seorang kanak-kanak bernama Balasundram. Kanak-kanak ini dijumpai mati dengan kesan penderaan yang teruk pada awal tahun 1990-an (Farah, 2004). Penderaan kanak-kanak ialah suatu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah. Kegiatan ini biasanya berlaku dalam sesebuah institusi keluarga. Secara umumnya, penderaan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada 4 jenis iaitu penderaan fizikal, penderaan seksualm penderaan emosi dan pengabaian.

                  


   
  Antara punca yang menyebabkan isu ini berlaku ialah tekanan masalah ekonomi atau bebanan kerja yang dihadapi oleh ibu bapa. Keadaan ini yang berterusan akan menyebabkan emosi ibu bapa terjejas. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik telah menyebabkan mereka menjadikan kanak-kanak sebagai medium untuk melepaskan perasaan geram di samping melepaskan stress mereka. Mereka berkemungkinan akan memukul anak-anak mereka yang tidak berdosa sehingga lebam. Dengan ini, tekanan jiwa yang dihadapi oleh ibu bapa telah menyebabkan mereka mendera anak-anak mereka.
















     Sementelahan, ibu bapa yang kekurangan didikan agama turut mendorong mereka untuk mendera kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang akan menjamin keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Ilmu agama juga akan memberi panduan kepada ibu bapa untuk menguruskan sesebuah institusi keluarga dengan cara yang bermoral dan berkesan. Oleh itu, ibu bapa yang kurang menerima didikan agama tidak mempunyai pendekatan yang baik dalam mengurus keluarga mereka. Pegangan agama yang kurang menyebabkan mereka sanggup mendera anak mereka semata-mata untuk melepaskan tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka.

    Setiap kegiatan yang dilakukan pasti akan meninggalkan kesan. Antara kesan penderaan kanak-kanak ialah kegiatan ini akan menyebabkan negara kehilangan waris negara yang berbakat yang akan menerajui pucuk pimpinan negara pada masa depan. Sekiranya kanak-kanak yang berbakat didera oleh ibu bapa mereka, pembangunan emosi dan mental mereka akan terbantut. Mereka akan kehilangan keyakinan diri mereka dan suka mendiamkan diri mereka. Minat mereka terhadap sesuatu aktiviti mahupun benda juga akan berkurangan. Dengan ini, insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan tidak dapat dibentuk. Kekurangan insan-insan yang berbakat ini secara tidak langsung akan menjejaskan pembangunan negara di mana mereka tidak dapat menyumbang tenaga mereka terhadap pembangunan negara. Penderaan kanak-kanak ini juga menyebabkan keamanan sesebuah masyarakat terjejas. Ibu bapa yang memarahi dan memukul anak-anak mereka menyebabkan anak-anak menangis kesakitan. Kejadian ini yang berlaku secara kerap akan menjejaskan keamanan negara.

    Kes-kes penderaan kanak-kanak yang semakin meningkat seharusnya dibendung dengan segera. Antara langkah untuk membendung masalah ini ialah pelaksanaan “Kempen Keluarga Bahagia”. Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah melancarkan kempen tersebutMenurut Leela iaitu wakil Penyayang, Penyayang dengan kerjasama daripada kerajaan akan merangka pelbagai strategi serta aktiviti yang bersesuaian untuk jangka panjang mahupun pendek untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Dengan ini, kelahiran keluarga bahagia dipercayai mampu mengelakkan kes-kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku.

     Di samping itu, sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diadakan kepada ibu bapa atau pasangan yang berhasrat untuk berumah tangga. Ini memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang tanggungjawab mereka terhadap anak. Pendedahan seperti ini juga menyediakan ibu bapa sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kesulitan di samping mengatasi masalah tekanan yang dihadapi. Pendedahan seperti ini dipercayai dapat menangani isu penderaan kanak-kanak.


     Konklusinya, pada komen saya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat ditegah oleh semua agama. Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat perlindungan daripada ibu bapa dan bukannya didera oleh ibu bapa. Selaku ibu bapa, mereka tidak harus menjadikan anak mereka sebagai medium untuk melepaskan perasaan geram mereka. Mereka seharusnya melengkapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan agar dapat mampu mengurus institusi kekeluargaan dengan teratur.