Wednesday 2 September 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 5: Isu Gengsterisme

Isu Gengsterisme




  Gengsterisme merupakan suatu kegiatan gengster atau kumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah tertentu. Kumpulan individu ini sanggup melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang demi mencapai matlamat dan kepuasan diri. Secara umumnya, gejala gengsterisme ini banyak berlaku di sekolah.

  Antara punca yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam gengsterisme ialah pengaruh rakan sebaya. Menurut Artwater (1998), rakan sebaya merupakan rakan seumur dan boleh dikategorikan sebagai rakan sepermainan atau rakan seperjuangan. Hal ini menyebabkan golongan masyarakat terutamanya golongan remaja sering terpengaruh dengan tindakan rakan-rakan mereka. Dengan ini, kesilapan bergaul dengan rakan-rakan akan menyebabkan seseorang itu melibatkan diri dalam pelbagai perbuatan samseng dan gangster.

 Sementelahan, media massa juga merupakan salah satu punca yang mendorong gejala gengsterisme berlaku. Pada zaman sekarang yang maju dengan teknologi maklumat, kita boleh menonton pelbagai jenis filem melalui telefon bimbit, komputer riba mahupun televisyen pada setiap masa. Sekiranya seseorang yang tidak tahu membezakan intan daripada kaca menonton filem yang berunsur keganasan, mereka akan terikut-ikut dengan aksi-aksi ganas pelakon. Dengan ini, pemikiran mereka yang terpengaruh menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan perbuatan yang ganas dan secara tidak langsung mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gengsterisme. Selain itu, sesetengah ibu bapa memberi kebebasan yang sepenuh bagi anaknya serta tidak mengambil kisah tentang kegiatan anaknya dengan rakan-rakan anaknya. Justeru itu, ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif dalam aktiviti gangsterisme.

  Gejala gengsterisme telah mencemarkan imej negara. Kegiatan gengsterisme yang berlaku di sesuatu tempat akan meninggalkan kesan dan tanggapan yang tidak baik di kalangan pelancong-pelancong asing. Mereka akan berpendapat bahawa negara Malaysia ialah satu negara yang tidak berdisiplin. Apabila pelancong-pelancong asing ini balik ke negara asal mereka, komen mereka terhadap negara Malaysia yang negatif akan mencemarkan nama baik negara. Hal ini secara tidak langsung juga akan menjejaskan ekonomi negara kita kerana sektor pelancongan yang menyumbang besar kepada ekonomi negara terjejas.Gejala gengsterisme ini juga menyebabkan ketenteraman masyarakat setempat terjejas kerana kegiatan pergaduhan, memeras ugut yang berlaku dengan kerap.

Pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah gengterisme. Seseorang individu haruslah mempunyai jati diri yang kukuh dengan tidak mudah terpengaruh oleh orang lain. Seseorang individu seharusnya berfikir sebelum bertindak agar tindakan yang diambil tidak meninggalkan kesan negatif terhadap individu tersebut. Pihak ibu bapa juga memainkan peranan dalam menangani isu ini. Ibu bapa seharusnya mendidik dan membimbing anaknya agar sentiasa berada dalam jalan yang betul. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap perkembangan anak-anaknya walaupun sibuk berkerja.

  Selain itu, masyarakat juga harus memainkan peranan dalam menangani gejala gengterisme. Mereka tidak patut mengamalkan sikap endah tak endah terhadap gejala ini sebaliknya harus memainkan peranan mereka dengan melaporkan kes-kes gengsterisme yang berlaku kepada pihak polis. Selain itu, pihak sekolah juga berperanan penting dalam mengatasi masalah gengsterisme. Sekolah juga boleh melibatkan semua pelajar dalam aktiviti kokurikulum seperti aktiviti persatuan, kelab dan badan beruniform supaya murid-murid boleh mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah daripada melibatkan diri dalam gejala negatif.

     Tuntasnya, gejala gengsterisme ini perlu ditangani dengan drastik terutamanya pihak sekolah hendaklah memberi perhatian serius terhadap golongan remaja yang berisiko tinggi untuk melibatkan diri dalam gejala gengsterisme. Semua pihak seharusnya bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membawa isu ini menemui titik noktahnya supaya masyarakat yang mempunyai nilai kesantunan yang tinggi dapat dibentuk dan menjurus kepada pembentukan negara Malaysia yang berketamadunan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.