Tuesday 1 September 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 4 : Isu Pembuangan Bayi

Isu Pembuangan Bayi


    Kehidupan generasi masa kini yang bertunjangkan keseronokan telah menyebabkan mereka terlibat dalam pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Hal ini telah menyebabkan sesetengah perempuan mengandungkan anak luar nikah. Dalam situasi ini mereka yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya. Kesannya, kita sering dengar tentang berita berkaitan dengan pembuangan bayi saban hari. Keadaan sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana bayi yang dilahirkan umpama kurniaan Tuhan kepada ibu bapa kepada bayi tersebut. Namun, apakah punca yang telah mendorong isu ini berlaku?

Antara punca yang mendorong isu ini berlaku ialah kekurangan didikan agama dalam diri seseorang. Semua agama mengajar pengikutnya agar melakukan kebaikan dan mementingkan sikap kesantunan. Mereka yang terlibat dalam isu pembuangan bayi tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam. Mereka tidak takut akan dosa atau pembalasan Tuhan atas perbuatan mereka. Tanpa didikan agama, mereka tidak dapat membezakan intan daripada kaca. Tamsilnya, mereka melibatkan diri dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang untuk menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Hal ini menunjukkan peranan agama dalam kehidupan adalah amat penting untuk membentuk pegangan hidup yang teguh dan bukan mengikut hawa nafsu semata-mata. 

    Selain itu, sistem kekeluargaan yang lemah juga merupakan salah satu sebab berlakunya kes pembuangan bayi. Desakan hidup yang tinggi menggamit ibu bapa untuk mencari nafkah hidup. Kesibukan ibu bapa mengejar kemewahan hidup menyebabkan mereka lupa akan tanggungjawab sebenar mereka dalam membina sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak mempunyai masa untuk mengambil berat tentang perkembangan anak-anak. Hal ini telah menyebabkan anak mereka tidak mempunyai didikan moral yang kukuh daripada ibu bapa mereka dan seterusnya menyebabkan mereka tidak mempunyai nilai kesantunan dalam diri mereka. Kesannya, anak-anak akan mudah terlibat dalam gejala sosial seperti pergaulan bebas dan akhirnya bayi dilahirkan tanpa melalui ikatan perkahwinan. Natijahnya, bayi yang tidak diingini kehadirannya menjadi mangsa kerakusan nafsu. Bayi yang telah dilahirkan akan dibuang seperti sampah kerana kehadirannya belum dapat diterima. 

Isu pembuangan bayi ini telah memberi impak kepada negara dan masyarakat.  Kita akan digelar sebagai masyarakat yang tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan masyarakat yang kejam. Nilai-nilai tradisi masyarakat traditional seperti gotong royong, ziarah menziarahi, saling membantu dan sebagainya akan luntur kerana masyarakat saling berselisih dan menyelisihkan orang yang telah membuang bayi.

Selain itu, negara akan dianggap lemah dalam pentadbiran kerana tidak mampu menangani gejala pembuangan bayi tersebut. Perbelanjaan kerajaan juga akan meningkat bagi menampung bayi yang ditempatkan di rumah kebajikan. Jika kes pembuangan bayi sering berlaku, kerajaan terpaksa membina lebih banyak rumah kebajikan untuk menampung bilangan bayi yang semakin bertambah.

Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Oleh hal yang demikian, langkah yang drastik dan efisien perlu diambil untuk menangani masalah ini.  Antaranya, ibu bapa harus memberikan didikan agama dan moral untuk menyedarkan mereka tentang dosa sekiranya mereka berbuat demikian. Didikan keagamaan perlu diterap dalam jiwa anak mereka pada setiap masa supaya menjadi panduan kehidupan agar mereka dapat memupuk nilai kesantunan dan tidak menjalani hidup bertuhankan nafsu. Selain itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa sepatutnya menunjukkan sikap yang baik di hadapan anak-anak dan menasihati anak mereka agar tidak terlibat dalam gejala sosial. Ibu bapa juga perlu meluangkan masa untuk mengambil berat anak mereka dan mengawasi pergaulan anak mereka. Justeru, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyemai nilai kesantunan dalam diri anak-anak mereka dan secara tidak langsung mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala negatif.

Tuntasnya, kita tidak patut melakukan kegiatan penbuangan bayi yang salah di sisi undang-undang walaupun kelahiran bayi tersebut akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Hal ini demikian kerana bayi merupakan kurniaan Tuhan kepada setiap ibu bapa, kita seharusnya berfikir dengan waras sebelum melakukan sesuatu. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.