Tuesday 1 September 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 2 : Isu Penderaan Kanak-Kanak

Isu Penderaan Kanak-Kanak       

    Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang berada di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001. Kanak-kanak yang dilahirkan mempunyai hak mereka untuk hidup sihat dan bebas daripada keganasan. Namun demikian, isu-isu penderaan kanak-kanak yang sering terpapar di dada akhbar telah menimbulkan kerisauan pelbagai pihak. Di Malaysia isu penderaan mula diberi perhatian serius selepas kes penderaan fizikal seorang kanak-kanak bernama Balasundram. Kanak-kanak ini dijumpai mati dengan kesan penderaan yang teruk pada awal tahun 1990-an (Farah, 2004). Penderaan kanak-kanak ialah suatu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah. Kegiatan ini biasanya berlaku dalam sesebuah institusi keluarga. Secara umumnya, penderaan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada 4 jenis iaitu penderaan fizikal, penderaan seksualm penderaan emosi dan pengabaian.

                  


   
  Antara punca yang menyebabkan isu ini berlaku ialah tekanan masalah ekonomi atau bebanan kerja yang dihadapi oleh ibu bapa. Keadaan ini yang berterusan akan menyebabkan emosi ibu bapa terjejas. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka dengan baik telah menyebabkan mereka menjadikan kanak-kanak sebagai medium untuk melepaskan perasaan geram di samping melepaskan stress mereka. Mereka berkemungkinan akan memukul anak-anak mereka yang tidak berdosa sehingga lebam. Dengan ini, tekanan jiwa yang dihadapi oleh ibu bapa telah menyebabkan mereka mendera anak-anak mereka.
















     Sementelahan, ibu bapa yang kekurangan didikan agama turut mendorong mereka untuk mendera kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang akan menjamin keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Ilmu agama juga akan memberi panduan kepada ibu bapa untuk menguruskan sesebuah institusi keluarga dengan cara yang bermoral dan berkesan. Oleh itu, ibu bapa yang kurang menerima didikan agama tidak mempunyai pendekatan yang baik dalam mengurus keluarga mereka. Pegangan agama yang kurang menyebabkan mereka sanggup mendera anak mereka semata-mata untuk melepaskan tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka.

    Setiap kegiatan yang dilakukan pasti akan meninggalkan kesan. Antara kesan penderaan kanak-kanak ialah kegiatan ini akan menyebabkan negara kehilangan waris negara yang berbakat yang akan menerajui pucuk pimpinan negara pada masa depan. Sekiranya kanak-kanak yang berbakat didera oleh ibu bapa mereka, pembangunan emosi dan mental mereka akan terbantut. Mereka akan kehilangan keyakinan diri mereka dan suka mendiamkan diri mereka. Minat mereka terhadap sesuatu aktiviti mahupun benda juga akan berkurangan. Dengan ini, insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan tidak dapat dibentuk. Kekurangan insan-insan yang berbakat ini secara tidak langsung akan menjejaskan pembangunan negara di mana mereka tidak dapat menyumbang tenaga mereka terhadap pembangunan negara. Penderaan kanak-kanak ini juga menyebabkan keamanan sesebuah masyarakat terjejas. Ibu bapa yang memarahi dan memukul anak-anak mereka menyebabkan anak-anak menangis kesakitan. Kejadian ini yang berlaku secara kerap akan menjejaskan keamanan negara.

    Kes-kes penderaan kanak-kanak yang semakin meningkat seharusnya dibendung dengan segera. Antara langkah untuk membendung masalah ini ialah pelaksanaan “Kempen Keluarga Bahagia”. Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah melancarkan kempen tersebutMenurut Leela iaitu wakil Penyayang, Penyayang dengan kerjasama daripada kerajaan akan merangka pelbagai strategi serta aktiviti yang bersesuaian untuk jangka panjang mahupun pendek untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Dengan ini, kelahiran keluarga bahagia dipercayai mampu mengelakkan kes-kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku.

     Di samping itu, sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diadakan kepada ibu bapa atau pasangan yang berhasrat untuk berumah tangga. Ini memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang tanggungjawab mereka terhadap anak. Pendedahan seperti ini juga menyediakan ibu bapa sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kesulitan di samping mengatasi masalah tekanan yang dihadapi. Pendedahan seperti ini dipercayai dapat menangani isu penderaan kanak-kanak.


     Konklusinya, pada komen saya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat ditegah oleh semua agama. Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat perlindungan daripada ibu bapa dan bukannya didera oleh ibu bapa. Selaku ibu bapa, mereka tidak harus menjadikan anak mereka sebagai medium untuk melepaskan perasaan geram mereka. Mereka seharusnya melengkapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan agar dapat mampu mengurus institusi kekeluargaan dengan teratur.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.