Monday 31 August 2015

Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia 1- Isu Pemerdagangan Manusia

Isu Gejala Sosial
Isu Pemerdagangan manusia



    Pemerdagangan manusia merujuk kepada perbuatan berbentuk perdagangan yang melibatkan pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan. Kegiatan pemerdagangan manusia ini secara umumnya merupakan suatu jenis perhambaan yang melibatkan perekrutan, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan mahupun penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi. Kegiatan pemerdagangan manusia ini semakin berleluasa dan keadaan ini menjadi semakin membimbangkan lagi apabila negara Malaysia dilabel sebagai negara transit dan negara destinasi bagi kes pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang, sesuatu peristiwa yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan isu pemerdagangan manusia ini berlaku?

      Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Kewujudan unsur-unsur rasuah dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan yang berkaitan menyebabkan undang-undang yang diperkenalkan tidak dipatuhi sepenuhnya. Misalnya, sesetengah pegawai yang bertugas di pintu masuk lapangan terbang atau pelabuhan bertindak menerima rasuah daripada sindiket-sindiket dengan memberi kebenaran kepada sindiket-sindiket dan mangsa-mangsa untuk masuk ke negara kita dengan mudah.

      Selain itu, jurang ekonomi antara negara juga mendorong isu ini berlaku. Kemiskinan di sesebuah negara akan mendorong rakyatnya untuk mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Dengan ini, mereka memilih untuk bekerja di negara luar yang lebih kaya tetapi kekurangan tenaga kerja. Walaubagaimanapun, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan golongan ini dengan memberi jaminan pekerjaan, tempat tinggal dan kehidupan yang lebih baik kepada golongan ini. Namun, keadaan menjadi berlainan daripada apa yang dijanjikan selepas golongan ini dibawa ke luar negara. Mereka dipaksa menjadi hamba seks dan buruh kerja. Hal ini terbukti apabila terdapat statistik yang menyatakan bahawa mangsa-mangsa pemerdangangan manusia ini berasal dari negara-negara jiran yang berpendapatan rendah seperti Myanmar, Vietnam dan Laos. Dengan ini dapat dibuktikan bahawa jurang ekonomi antara negara akan menyebabkan isu pemerdangangan manusia berlaku.

   Kegiatan pemerdagangan manusia ini telah mendatangkan pelbagai impak kepada masyarakat dan negara. Antaranya, kegiatan ini yang berlaku di negara Malaysia telah mencemarkan nama baik negara Malaysia di mana negara Malaysia dianggap lemah dalam mentadbir negara dan menguatkuasakan undang-undang. Selain itu, ekonomi negara juga akan terjejas kerana pelabur-pelabur tidak berminat untuk melabur di negara ini akibat isu ini yang berlaku. Sektor pelancongan yang turut menyumbang kepada pendapatan negara juga akan terjejas kerana pelancong-pelancong berasa keselamatan mereka terancam apabila mereka berada di Malaysia. Kegiatan ini juga menjejaskan keamanan masyarakat setempat disebabkan pelbagai gejala sosial yang berlaku akibat daripada kegiatan pemerdagangan manusia seperti berpeleseran, pelacuran dan sebagainya.

 Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memerangi pemerdagangan manusia ini dan telah membuahkan hasil. Hal ini dapat dibuktikan dengan kenaikan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap 2.  Antara tindakan yang diambil ialah kerajaan telah memperkukuh undang-undang yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia. Kerajaan Malaysia telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007(ATIP) bagi menangani isu tersebut. Selain itu, kerajaan juga telah meminda akta tersebut agar akta tersebut menjadi lebih komprehensif di samping menaikkan denda untuk kesalahan pemerdagangan orang. Melalui akta ini, denda untuk kesalahan pemerdagangan orang telah dinaikkan antara RM500,000 hingga maksimum RM1 juta.


Tuntasnya, pada komen saya, kegiatan pemerdagangan manusia yang telah memberi impak-impak kepada negara mahupun masyarakat seharusnya diberi perhatian oleh pelbagai pihak dan langkah proaktif seharusnya diambil untuk mencegah isu ini daripada terus berleluasa. Semua pihak seharusnya bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam menangani isu ini. Semoga usaha-usaha yang dijalankan dapat membuahkan hasilnya dan seterusnya membantu kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.